Monday, April 5, 2010

PERKASA SOKONG MODEL EKONOMI BARU BERSYARAT

PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 2 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara dibuat mengikut nisbah penduduk berdasarkan kaum sebagai salah satu prasyarat organisasi itu menyokong Model Ekonomi Baru (MEB).

Naib Presiden Perkasa, Dr. Zubir Harun berkata, sekiranya keadilan sosial dijadikan landasan kepada pengagihan kekayaan negara, maka kadar pemilikan ekuiti dan aset mesti diagihkan mengikut komposisi penduduk berdasarkan kaum di negara ini.

"Sehubungan itu, kaum bumiputera wajib mendapat 67 peratus kekayaan negara sementara 33 peratus pula dikhususkan untuk bukan bumiputera.

"Kita mengambil ketetapan seperti itu untuk dinilai dan dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada dasar dalam MEB," katanya kepada Utusan Malaysia pada Bengkel MEB anjuran Perkasa di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memperkasakan Masyarakat Perindustrian dan Perdagangan Bumiputera (MPPB), organisasi tersebut turut mencadangkan beberapa langkah seperti berikut:

1. MEB mesti memastikan sokongan kerajaan secara berterusan kepada MPPB.
2. Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu ditingkatkan dengan meletakkannya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Mara dinaik taraf menjadi Menteri yang mempunyai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membangunkan usahawan Melayu.
3. Agenda pembangunan ekonomi Melayu wajib dijadikan sebagai NKRA di setiap kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
4. Peranan agensi pembangunan bumiputera seperti Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta GLC berkaitan perlu diperluas dan diperkukuhkan.
5. PNB harus menceburi bidang baru melalui pembangunan 'venture capital' dan keusahawanan.
6. Peranan Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) perlu dimaksimumkan.
7. Menggunakan pendekatan korporat besar seperti PNB, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Felda untuk bekerjasama bagi melaksanakan projek besar dan penting tanpa zmelibatkan kewangan kerajaan tanpa melibatkan kewangan kerajaan bagi membantu bumiputera.
8. Syarikat GLC perlu memasukkan pembangunan usahawan Melayu sebagai NKRA dan salah satu tanggungjawab ketua pegawai eksekutifnya dalam penilaian prestasi dan pelantikan.
9. dan, proses pembangunan usahawan Melayu berorientasikan global perlu digandakan.
Seramai 150 peserta bengkel yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta ahli pakar ekonomi dan akademik hadir membincangkan pelbagai cadangan bagi memantapkan MEB sebelum dilaksanakan kerajaan.

No comments: