12 APRIL — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau ringkasnya Perkasa terus mendapat perhatian. Begitulah hebatnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru berusia setahun jagung itu. Di Dewan Rakyat minggu lalu, Perkasa turut ‘dijolok’ walaupun secara sepintas lalu.
Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika berucap antara lain berkata: Perkasa sangat jelas mewakili wasted powerful interest yang reactionary, right wing, extremist, perkauman yang tidak mahu negara kita menjadikan satu...’’ Dan ketika diminta memberi laluan oleh Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) Kit Siang menyambung You boleh cakap nanti, you boleh cakap nanti.
Satu Perkasa satu pertubuhan.... Yang perkauman, yang right wing dan extremist yang menentang Model Ekonomi Baru dan anti-nasional juga’’.
Begitulah gambaran yang diberikan oleh Kit Siang terhadap Perkasa. Mungkin kerana pertubuhan itu dipelopori oleh ahli politik yang sebelum ini pernah bersama parti yang menyokong kerajaan dan pembangkang.
Perkasa bukan sekadar dikritik oleh DAP tetapi juga PAS dan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN). Adakah Perkasa benar-benar ekstremis kerana caranya bersuara untuk mempertahankan hak peribumi?
Setiap persatuan atau pertubuhan atas nama kaum yang ditubuhkan oleh orang Melayu, Cina dan India mempunyai hak untuk menyatakan harapan dan kebimbangan terhadap masa depan mereka termasuklah dalam soal bahasa, budaya, pendidikan dan ekonomi. Jika sesuatu hak itu dicabar atau seolah-olah mahu dicabar maka amat wajar pertubuhan berkenaan bersuara dan pihak berkuasa memberi perhatian terhadap permasalahan yang dibangkitkan.
Bukan bertujuan untuk membela, tetapi sekadar menyatakan rasa hairan apabila Perkasa sering menjadi sasaran setiap kali pertubuhan itu membuka mulut untuk bercakap mengenai hak masyarakat yang diwakilinya.
Sebelum ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim berkata, orang Melayu berhak menyokong mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak mereka dengan syarat selagi ia tidak dipolitikkan dan mencetuskan kontroversi.
‘‘Begitu juga masyarakat Cina, India dan lain-lain yang turut berhak memilih dan menyokong NGO yang sesuai dengan perjuangan dan kegiatan mereka,’’ kata Rais.
Tetapi masalah di negara kita, apabila ada pihak yang sentiasa berusaha untuk memberi gambaran salah mengenai Perkasa. Ketika NGO lain boleh secara bebas memperjuangkan hak kaum lain dan disokong sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh ‘rakan politik’ yang sealiran, suara Perkasa pula seolah-olah mahu disekat dan diperlekehkan. Kenapa fobia terhadap Perkasa atau histeria bagaikan menyaksikan satu lembaga yang begitu menakutkan?
Di Dewan Rakyat minggu lalu, Ibrahim mempertahankan Perkasa yang diterajuinya ketika beliau berucap menegur serba sedikit mengenai Model Ekonomi Baru. Ibrahim menegur sesetengah golongan Melayu liberal yang sekarang ini sudah mewah, ada kedudukan, tetapi lupa kepada agenda bangsanya sendiri. Memang benar kata Ibrahim, sesetengah orang itu sama ada di peringkat atas (berjawatan tinggi) atau di bawah (masih menuntut di universiti) belum pasti ada di situ tanpa ‘campur tangan’ Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta keistimewaannya sebagai peribumi.
Ibrahim seperti dalam hansard Dewan Rakyat yang antara lain berkata: ‘‘Ini bukannya kita hendak merampas hak kaum lain. Selama ini pun 52 tahun pernahkah kita lihat kita bertindak secara beremosi. Saya bersetuju dengan kata-kata mendiang Tun Tan Siew Sin... Segala-galanya kita bagi. Lepas itu bila kita pertahankan hak dan dasar kita, mereka kata kita jeopardise’’.
Begitulah suara lantang Ibrahim ketika mempertahankan hak peribumi. Adakah ini rasis sedangkan di pihak sana apabila bercakap mempertahankan kritikan balas terhadap Perkasa dikatakan pula kebebasan bersuara? Inilah dilema yang melanda orang Melayu sekarang sama ada dia dinamakan sebagai parti politik atau NGO.
Menurut Ibrahim lagi, ‘‘Kita (Perkasa) sebuah pertubuhan Melayu dan bumiputera yang memperjuangkan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan dan kita tidak menyentuh kepentingan pihak-pihak lain. Kita mempertahankan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kita menghormati kebebasan agama-agama lain tetapi jangan hendak samakan agama lain dengan Islam. Kita memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa lain bebas tetapi jangan pula hendak letakkan bahasa lain sama dengan bahasa Melayu. Sama juga dengan kedudukan raja-raja Melayu, sama juga dengan kepentingan dan hak istimewa Melayu’’.
Kesimpulannya, dipendekkan cerita, kata Ibrahim, Perkasa sama seperti NGO lain yang ditubuhkan untuk menyuarakan kepentingan masing-masing dengan tidak menidakkan pihak lain.
Sebenarnya banyak lagi yang diperkatakan Ibrahim. Pembaca boleh menyelak kembali apa yang diperkatakan oleh wakil rakyat itu dengan melayari laman web rasmi Parlimen. Lihat penyata rasmi bertarikh 6 April 2010. Tak guna nak selak terlalu banyak di sini, nanti ada orang yang histeria rasis.
Dan satu perkara menarik yang Ibrahim bangkitkan ialah mengenai pemilikan tanah dan rumah kedai di kalangan bumiputera. Jika bank boleh beri pinjaman beli kereta 100 peratus termasuk kepada orang yang tidak bekerja kenapa dasar yang sama tidak digunakan untuk bumiputera membeli hartanah ini?
Sebenarnya ramai bumiputera atau Melayu yang sudah berpendapatan tinggi tetapi tidak berani mencuba membeli rumah kedai padahal mereka mampu membeli rumah yang harganya hampir sama dengan rumah kedai. Akhirnya, Melayu hanya mampu menyewa rumah kedai. Sesuatu harus dilakukan supaya wujud kelonggaran yang akan membantu bumiputera memiliki hartanah termasuk rumah kedai. Semoga cadangan Ibrahim untuk memperkasakan bumiputera ini tidak dianggap rasis!
No comments:
Post a Comment