Monday, February 15, 2010

ROH DAN SEMANGAT DEB MESTI ADA DAN DIPERKUKUHKAN DIDALAM MODEL EKONOMI BARU

Tun Razak telah menggubal suatu model pembangunan ekonomi yang tersohor iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengimbangi dan membantu pasaran supaya turut memikirkan tanggungjawab sosial. Tetapi selepas pilihanraya umum 2008 DEB terus dikritik dan ditentang dengan keras oleh pelbagai pihak. Dua alasan yang mereka berikan ialah:

1. Pertama, dasar itu bertentangan dengan peraturan ekonomi pasaran.

2. Kedua, mereka berkata, dasar itu bersifat perkauman atau rasis, yakni dasar itu dikatakan pro-Melayu/bumiputera dan anti kaum lain, atau dikatakan bahawa DEB adalah dasar diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Akibatnya, kata mereka, pelaburan asing tidak tertarik atau takut-takut untuk melabur di Malaysia, dan ekonomi Malaysia merosot, tidak maju dalam tempoh DEB itu.

Apa bukti yang menunjukkan bahawa dasar itu adalah dasar ekonomi Melayu, dasar rasis, dasar anti pasaran, dasar diskriminasi terhadap kaum lain sehingga menyebabkan dalam tempoh 20 tahun usia DEB kaum-kaum lain dizalimi, dipinggirkan dari kemajuan ekonomi negara sedangkan kaum bumiputera hanya 30%, bukan 60% atau 50% ekonomi negara.

Di dalam tempoh tempoh 20 tahun usia DEB kemajuan yang dicapai oleh kaum bukan Melayu dalam bidang perniagaan dan kuasa milik ekonomi secara ‘private’ terus meningkat berkali ganda, meninggalkan kaum Melayu jauh-jauh ke belakang. Dalam tempoh itulah ekonomi negara bertambah maju. Ekonomi Malaysia disenaraikan sebagai ekonomi yang ke-29 terbesar di dunia.

Itu semua adalah hasil daripada pembangunan ekonomi yang pesat yang dijanakan oleh DEB melalui pembinaan beberapa banyak infrastruktur baru, melalui pemberian beberapa banyak insentif untuk menggalakan pelaburan dalam negeri dan menggalakkan kepenggunaan atau ‘consumption’, mencurahkan wang dalam pasaran perusahaan awam yang faedahnya juga mengalir dengan banyak ke dalam pasaran eonomi swasta.

Sebenarnya golongan ini bebal sejarah dan kenyataan tahap pencapaian ekonomi bumiputra. Benar kita memerlukan penilaian terhadap dasar dan perlaksanaan. Tetapi menafikan kejayaan DEB adalah keterlaluan dan menuduh seluruh DEB adalah penyelewengan adalah pembohongan.

Memang DEB memerlukan pemeriksaan di atas pencapaian oleh pihak yang dipertanggungjawabkan, tetapi menuduh DEB sebagai dasar perkauman, tidak adil dan gagal adalah keterlaluan. DEB merupakan penterjemahan roh perlembagaan dalam usaha memulihkan nasib generasi bumiputra yang ketinggalan sejak berzaman atas apa jua alasan yang diberikan sejarah. Perbedaan struktur asasi masyarakat mengikut garis ethnik dalam bidang pekerjaan, pendapatan dan harta memerlukan jangka masa yang lama hingga memerlukan beberapa generasi untuk dipulihkan.

Perlu dingatkan orang Melayu telah banyak berkorban sejak merdeka lagi dengan dasar ‘quid pro quo’ (dasar beri memberi) tentang bagaimana besarnya tolak ansur bangsa Melayu terhadap kemasukan orang asing ke dalam negara mereka sehinggakan di negeri-negeri Bersekutu (Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan) bilangan kaum Cina telah mencapai angka 64 peratus keseluruhannya (1931). Angka-angka inilah yang menyebabkan orang Melayu ketika itu diburu oleh satu kebimbangan baru. Pun begitu, orang Melayu tidak marah kepada imigran Cina atau India, malah tidak juga kepada penjajah Inggeris.

Ratusan tahun Melayu menghadapi penjajahan dan kesannya melalui kemasukan kaum asing. Satu dasar yang dipaksakan terima. Dengannya persaingan bermula. Memang terdapat peningkatan tahap ekonomi kaum bumiputra semenjak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1970. Namun dalam membetulkan perbedaan ketara struktur asas ekonomi ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat 20 tahun. Ia memerlukan lebih dari itu disamping diberikan bimbingan dalam menghadapi dunia pasaran bebas terbuka. Sejak merdeka, UMNO yang didukung oleh komponen parti perikatan dan kemudiannya BN menyokong gagasan pemulihan ini. Ini merupakan satu tindakan yang sah menurut semangat perlembagaan yang berasaskan prinsip “quid pro quo” (dasar beri memberi), yakni toleransi Melayu dalam soal penerimaan kerakyatan kaum lain dibalas dengan dasar perlindungan yang sah.

Kalau kita mengkaji Suruhanjaya Reid, ia mengatakan kalau kita mengambil hak Melayu secara tidak terancang ia boleh meruntuhkan pembinaan bangsa dan negara. Atas sebab itu PERKASA tidak bersetuju jika ada pihak mengatakan bahawa Perkara 153 memberi kelebihan melampau kepada orang Melayu. Ini kerana sistem tersebut mesti bergerak dengan hak-hak munasabah terhadap bangsa lain.

Suruhanjaya Reid merujuk salah satu terma Perlembagaan ialah menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta menjaga hak-hak munasabah terhadap bangsa lain, jadi apabila kita menjaga kepentingan Melayu ini tidak bermakna kita mengabaikan bangsa lain. Untuk membina sebuah negara yang aman dan damai serta mewujudkan kestabilan politik kita memerlukan kesaksamaan dan keadilan.Keadaan ekonomi yang berat sebelah serta usaha mencabar persetujuan perlembagaan yang sah ini telah mengakibatkan peristiwa ketidakstabilan negara seperti yang terlihat dalam peristiwa berdarah 13 mei 1969. Benarlah apa yang pernah dinyatakan oleh Secretary Gates; “Failure in economics can lead to failure in security; counter-wise, failures in security can create economic crises..”

PERKASA negeri Pahang berpendapat bahawa dalam keadaan yang diperlukan untuk kepentingan negara, demi keadilan ekonomi antara kaum dan demi perpaduan kebangsaan (‘national unity’) kerajaan berhak melakukan tindakan ‘social intervention’ untuk memastikan bahawa ekonomi negara ini tidak menjadi medan ‘free-for-all’, medan persaingan yang tidak adil antara kaum, medan eksploitasi dan monopoli ekonomi sehingga boleh menimbulkan perpecahan antara kaum dalam bidang pembangunan ekonomi.

Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153. Ia menggariskan bahawa Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet, berkuasa menyelamatkan atau menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan menentukan kedudukan mereka dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan kerajaan termasukpermit atau lesen perniagaan.

Daripada peruntukan ini jelas bahawa orang Melayu secara automatik mempunyai hak untuk mendapat biasiswa atau bantuan dan lain-lain kemudahan istimewa pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas. Ini jelas merupakan hak, harta dan pusaka yang haruslah kita pertahankan dengan nyawa dan kekuatan yang ada ada pada kita. Dan jangan sekali-sekali kita membiarkan ia di cairkan atau “diluted” oleh mana-mana pihak atas apa-apa asas atau sebab pun oleh kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejak negara ini merdeka pada 1969, Tun Razak telah menjadi Peruntukan 153 Perlembagaan Malaysia sebagai sumber induk kepada penggubalan dan pelaksanaan seluruh dasar, strategi dan program affirmative yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera di bidang sosio-ekonomi. Perkara 153 inilah yang menjadi sumber kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN).

Sehubungan dengan itu, PERKASA negeri Pahang mendesak kerajaan agar Model Ekonomi Baru yang akan digubal oleh pihak kerajaan WAJIB menjadikan Peruntukan 153 Perlembagaan Malaysia sebagai sumber induk kepada penggubalan dan pelaksanaan seluruh dasar, strategi dan program Model Ekonomi Baru. Jika dasar-dasar yang melahirkan program-program affirmative ini tidak diberi penekanan di dalam Model Ekonomi Baru maka orang Melayu dan Bumiputera akan melarat dan terpinggir di negara asal mereka sendiri.

No comments: