Saturday, February 20, 2010

Masih boleh kemuka usul MEB - Mukhriz


KANGAR 20 Feb. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu masih boleh mengemukakan usul dan cadangan kepada kerajaan berhubung Model Ekonomi Baru (MEB).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, belum terlambat untuk pihak NGO berbuat demikian kerana masih ada ruang bagi kerajaan mempertimbangkan cadangan mereka.
"Saya harap NGO Melayu seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di seluruh negara dapat kemukakan cadangan dan usul mengenai MEB sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Forum Ekonomi Melayu anjuran DPMM Perlis di sini hari ini.
Menurut Mukhriz, usul dan cadangan tersebut perlu dikemukakan kepada Perdana Menteri, MITI, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan untuk diberi pertimbangan sebelum MEB diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan.
"Kerajaan sedar kebimbangan dan tekanan yang dialami oleh NGO Melayu daripada pelbagai sektor dan industri mengenai MEB yang disifatkan akan menjejas kepentingan bumiputera di negara ini," katanya.
Mukhriz mengakui, sebarang tekanan yang dihadapi oleh NGO Melayu akan turut memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya akan datang.
"Saya sedar sebagai wakil rakyat, jika kerajaan tidak memberi pertimbangan sewajarnya, padahnya akan diterima menjelang pilihan raya nanti.
''Saya sendiri telah menyaksikan perubahan intonasi NGO Melayu mengenai kerajaan dalam pertemuan yang diadakan sejak kebelakangan ini," ujarnya.
Menurut Mukhriz, antara perkara utama yang diminta oleh NGO Melayu ialah sebarang dasar baru kerajaan mestilah berlandaskan Perlembagaan.
"Saya fikir itu adalah alasan yang logik kerana sebarang keputusan yang terkeluar daripada Perlembagaan akan menimbulkan banyak masalah," jelasnya.
Namun, beliau menegaskan, kerajaan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawabnya kepada bumiputera malah sentiasa berlaku adil kepada semua pihak. UTUSAN MALAYSIA

No comments: