Saturday, February 20, 2010

MEB perlu ambil kira hak kaum majoriti, penduduk asal - Perkasa


PUTRAJAYA 17 Feb. - Kerajaan perlu mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera dalam Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan diumumkan pada akhir bulan depan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, MEB perlu mengambil kira hak kaum majoriti dan penduduk asal seperti yang digariskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tamat pada 1990. Menurutnya, maklumat yang betul mengenai pencapaian orang Melayu dan bumiputera sekarang dalam pembahagian kekayaan ekonomi negara di era daya saing ini perlu diambil kira. "Mengikut statistik yang ada sekarang peratus bumiputera yang disasarkan DEB tidak pun mencapai sasaran 30 peratus seperti diharapkan, iaitu hanya sekitar 18 peratus. "Itu pun tidak dikira pegangan yang dimiliki syarikat milik kerajaan (GLC), mungkin hanya sekitar tiga atau empat peratus," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum Perkasa mengenai hak keistimewaan Melayu dan kaum bumiputera dalam MEB kepada Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A. Aziz. Beliau yang mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Amirsham turut mendapat penjelasan mengenai pelaksanaan MEB untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi kepada negara.Menurut Ibrahim, kerajaan perlu mengetepikan pandangan usahawan bukan Melayu dan usahawan Melayu berfahaman liberal yang mahukan ekonomi negara mengamalkan sistem pasaran bebas.

Tegasnya, ada antara mereka mahu persaingan perniagaan dalam negara sepatutnya dibiarkan berlaku secara brutal iaitu bersikap kejam. Selain itu, katanya, mereka juga mahu kerajaan membuang segala keistimewaan melalui subsidi yang telah diberikan serta mengamalkan sikap tidak terlalu melindungi. "MPEN perlu menekankan aspek ruang lingkup pengukuhan tindakan DEB sedia ada sebelum melaksanakan MEB. "Tindakan ini untuk memastikan semua komposisi kaum mempunyai pecahan ekonomi yang seimbang bagi mengelakkan berlakunya penindasan terhadap yang lemah," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Perkasa akan menganjurkan sidang meja bulat mengumpulkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu pada 7 Mac ini bagi membincangkan nasib ekonomi Melayu dalam MEB. "Perbincangan ini perlu dilakukan bagi mencari cadangan dan langkah baru untuk diutarakan kepada MPEN mengenai kepentingan Melayu dan kaum bumiputera," jelasnya. Beliau berkata, tindakan itu juga untuk mengelakkan berlaku ketidakpuasan hati di kalangan NGO berkenaan setelah MEB diperkenalkan nanti.

No comments: