Saturday, February 20, 2010

MODEL EKONOMI BARU :NGO Melayu jangan bimbang


ALOR SETAR 20 Feb. - Model Ekonomi Baru yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan hadapan akan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada kaum bumiputera, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mukhriz berkata, pertimbangan itu sejajar dengan dasar yang telah digunakan sebelum ini khususnya Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Saya telah menerima banyak kunjungan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu yang mewakili pelbagai sektor dan industri yang telah menyampaikan rasa bimbang bahawa model ekonomi baru itu nanti begitu terbuka sehingga mengurangkan peluang kepada pengusaha bumiputera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perdana Pembangunan Insan di Dewan Sekolah Kebangsaan Langgar, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, dalam mana-mana dasar, kerajaan pasti akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada semua pihak.
"Kerajaan tidak akan melancarkan sebuah dasar baru yang bertentangan dengan perlembagaan dan perkara ini perlu dinyatakan dengan jelas supaya rakyat khususnya kaum bumiputera tidak bimbang dengan apa yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri kelak," tambahnya lagi.
Mengulas tentang DEB, Mukhriz berkata, masyarakat perlu sedar walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya, DEB telah terbukti berjaya membasmi kemiskinan, mengimbangi dan menyamaratakan peluang untuk setiap lapisan masyarakat tidak mengira kaum.
"Masalah ekonomi yang kita hadapi berpunca daripada faktor-faktor luaran seperti krisis kewangan dan krisis ekonomi global," katanya.
"Jadi, saya fikir tidak wajar sesetengah pihak menyatakan bahawa masalah ekonomi yang kita hadapi sekarang disebabkan oleh DEB," katanya. — Bernama

No comments: