Saturday, April 16, 2011

PERKASA TUBUH PEMANTAU




KUALA LUMPUR 10 April - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menubuhkan sebuah badan pemantau yang berperanan dalam memantau segala program pelaksanaan kerajaan berkaitan agenda ekonomi bumiputera.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, dengan penubuhan badan dikenali sebagai Badan Pemantau Prestasi Bumiputera (Pemantau) itu, ia bakal menjadi pusat sehenti untuk mana-mana kumpulan, individu atau syarikat bumiputera membuat aduan berhubung segala pelaksanaan program berkenaan.

''Kerajaan baru-baru ini menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Perkasa merasakan perlu adanya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memantau pelaksanaan unit berkenaan dan juga program-program lain yang diusahakan kerajaan berkaitan agenda ekonomi bumiputera.

''Untuk itu, Perkasa menubuhkan Pemantau. Ada dua mekanisme bertindak dalam Pemantau iaitu Jaringan Penyelidikan dan Bilik Agenda Perang Melayu (Mawar).

''Kedua-dua mekanisme ini akan digunakan untuk mencari kaedah terbaik dalam meningkatkan lagi pelaksanaan segala program berkaitan ekonomi bumiputera,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman dekat sini hari ini.

Kata Ibrahim, Pemantau akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini dengan diketuai Naib Presiden yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Perkasa, Dr. Zubir Harun.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan pelantikan Irwan Fahmi Ideris selaku Ketua Wira Perkasa yang baru manakala naibnya, Nurul Izham Anuar.

Bagi Ketua Wiranita Perkasa yang baru pula, jelasnya, Dewan Tertinggi Perkasa sebulat suara untuk melantik Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin manakala naibnya, Syazrina Sharani.

''Ketua Wira dan Ketua Wiranita sebelum ini bertindak meletak jawatan atas sebab peribadi dan komitmen lain.

''Kita juga melantik bendahari yang baru iaitu Dr. Marzuki Ibrahim bagi menggantikan Datuk Shuib Lazim manakala Yang Dipertua Perkasa Wilayah Persekutuan sebelum ini iaitu Datuk Mokhtar Samad digantikan dengan Saifuddin Abdul Hamid,'' tambahnya.

No comments: