Friday, June 11, 2010

LAPORAN RINGKAS MENGENAI KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA (KEB) YANG DIANJURKAN OLEH MAJLIS PERUNDINGAN MELAYU (MPM) PADA 29 MEI 2010

1. Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada 29 Mei 2010 dihadiri oleh lebih 1000 orang telah mengupas luar dalam Model Baru Ekonomi (MBE). MBE tersebut telah dibentangkan oleh Prof. Dr Normah, Setiausaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) dan diulas pula oleh empat orang ahli panel – Senator Datuk Akbar Ali, Datuk Halipah Esa, En. Rajani Ramlan dan Prof. Datuk Ramlah Adam.

2. Tujuan MBE untuk melonjakkan Negara ke tahap berpendapatan tinggi, dari GNP Per Kapita US7,250 (2008) ke US$15,000 (2020), adalah baik dan disokong. Tetapi, setelah mengkajinya dengan teliti, KEB, dengan sebulat suara, telah menerimanya secara bersyarat atau pada prinsipnya ianya DITOLAK. Pendirian ini terpahat dalam Resolusi yang mengandungi 31 syor.

3. Pendirian tersebut dibuat kerana didapati:

3.1 MPEN mengenepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB); yang demikian mengingkari arahan DSN yang mahu objektif DEB terus dikekalkan tetapi kaedah pelaksanaannya yang perlu ditransformasikan;
3.2 MPEN tidak berlaku adil kepada DEB dengan meletakkan kesemua kegagalan / kelemahan pengurusan ekonomi negara ke atas Dasar tersebut dan, yang demikian, tujuan sebenar adalah untuk menyerang dan menghina pemimpin Melayu, khususnya, Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir;
3.3 MPEN menghumbankan ke longkang hak-hak keistemewaan Bumiputera di bawah Perkara 153, Perlembagaan Negara dan Peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengannya;
3.4 MPEN tidak menyatakan dengan jelas agenda pembangunan Bumiputera; hanya dua kali perkataan ‘Bumiputera’ disebut dalam buku Ringkasan Eksekutifnya;
3.5 MBE tidak menjamin output / outcome kerana MPEN lebih mengutamakan proses daripada output / outcome; bertentangan dengan arahan TSMY;
3.6 Potensi outcomenya membimbangkan di mana jurang akan semakin melebar dan Bumiputera akan semakin terpinggir – umpama ayam di kepuk mati kelaparan, itek di air mati kehausan;
3.7 MBE boleh menjadi alat untuk menjajah Bumiputera
3.8 MBE boleh menjadi senjata untuk menumbangkan kerajaan (BN) kerana analisanya yang tidak seimbang – menelanjangkan kelemahan / kegagalan kerajaan (BN) dan kurang memaparkan kejayaannya;
3.9 Kerangka teori MBE agak lemah;
3.10 Bahasa yang digunakan oleh MPEN terhadap kerajaan adalah keras dan kasar; dan
3.11 MPEN tidak jujur serta membuat perbandingan yang tidak adil terhadap usaha kerajaan.

4. Majlis Makan Malam pada 29 Mei 2010 anjuran MPM

Majlis Makan Malam pada 29 Mei 2010 anjuran MPM sempena penyerahan Resolusi tersebut kepada DSN, beliau membuat pengakuan berikut

4.1 menegaskan bahawa MBE adalah dokumen MPEN, bukan dokumen kerajaan; ia belum dimuktamadkan (makna PM menjauhkan diri dari dokumen berkenaan);

4.2 memberi jaminan MBE tidak ketepikan agenda Melayu dan Bumiputera;

4.3 meminta orang Melayu jangan khuatir, beliau akan meneliti semua pandangan, termasuk daripada MPM sebagai rakan perundingan utama; dan

4.4 memberi pengakuan bahawa sebagai Presiden UMNO, tidak mungkin beliau tidak mendengar suara orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk Malaysia.

No comments: