Saturday, November 21, 2009

UMNO PERLU MENGAMBIL IKTIBAR DARIPADA KISAH TENGGELAMNYA KAPAL TITANIC

KELANA JAYA - UMNO perlu mengambil iktibar daripada kisah tenggelamnya kapal Titanic di mana kapal yang besar dan kukuh struktur binaannya juga mampu tenggelam jika tiada tindakan berjaga-jaga. Yang Dipertua Perkasa Pahang, Dr Zubir Harun berkata, UMNO sebagai sebuah parti yang besar akan ’karam’ sekiranya pemimpin UMNO memandang rendah terhadap ancaman persekitarannya iaitu keupayaan parti pembangkang dan lambat bertindak membaiki kelemahan.

Katanya, motivasi yang terbaik agar pemimpin UMNO tidak leka dan terus berusaha memenangi hati rakyat ialah mengingatkan dengan berita yang menggerunkan.

“Jadikanlah motivasi bahawa kemenangan Pilihanraya Umum ke-13 adalah satu yang menggerunkan iaitu UMNO tumpas dan apakah yang akan terjadi kepada bangsa Melayu jika DAP, PKR dan Pas berjaya menjadi pemerintah.

“Perkara-perkara yang menggerunkan seperti itu diyakini akan menyebabkan pemimpin UMNO tidak leka dan terus berusaha memenangi hati rakyat sekaligus memperoleh lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah ‘Cabaran dan masa depan Melayu’ pada Program ‘Bicara Perjuangan Misi Lawan dan Tawan’ anjuran UMNO Bahagian Kelana Jaya di Auditorium Kompleks Kastam, semalam.

Dr. Zubir berkata, ahli UMNO perlu memberi ‘berita buruk’ kepada ketua sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun Pusat agar mereka sedar masalah di akar umbi dan tidak hanya berasa berada di zon selesa dan bertindak segera untuk rakyat. “Ahli mesti berani mengemukakan masalah dan berita yang tidak sedap didengar kepada ketua dari sekarang. Janganlah hanya berkata ‘tidak ada apa-apa masalah’ sedangkan sebenarnya terlalu banyak masalah,” katanya.

Selain memberi suntikan semangat kepada ahli UMNO, program ini juga memberi ruang kepada pemimpin bahagian menyampaikan maklumat dan pandangan secara bersemuka dengan ahli terutama berhubung pindaan perlembagaan UMNO dan Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur).

Sinar Harian 15.11.2009

No comments: