Sunday, November 30, 2008

AMARAN KEPADA UMNO:JENERASI MUDA TIDAK AKAN MENGUNDI UMNO/BN DI DALAM PILIHAN RAYA UMUM AKAN DATANG

Penemuan Dr Mahathir terhadap arah pemikiran jenerasi baru Melayu kini yang bersikap liberal, menolak DEB, menerima meritokrasi dan sanggup menerima bukan Melayu sebagai pemimpin perlu dipandang serius oleh kepimpinan UMNO dan ini merupakan tanda-tanda bahaya kepada UMNO dan survival orang-orang Melayu pada masa akan datang. Berikut adalah tulisan Dr Mahathir

“ Young Malays, including professionals are said to have espoused liberalism and meritocracy. They question the need for affirmative action and the New Economic Policy. They believe that the Malays should compete with the other races. If they fail then they do not deserve the dominant role in the politics of Malaysia. They should accept non-Malay leadership of the country.”

Sumber : Blog Dr. Mahathir Mohamad
(September 10, 2008)


Ini adalah fahaman dan pemikiran baru yang di bawa oleh pemimpin Melayu di dalam PKR dan PAS dan sedang cuba ditanam kepada pemikiran jenerasi muda Melayu yang bakal mengundi dan akan menentukan samada Melayu terus berkuasa atau Melayu di perintah oleh bangsa bukan Melayu.

Satu hakikat yang mesti di terima oleh UMNO dan BN adalah pada masa kini ialah terdapat kecenderungan pengundi-pengundi muda yang memihak dan memilih parti pembangkang. Perkembangan politik semasa telah mempengaruhi selera pengundi-pengundi muda ini dalam membuat keputusan parti pilihan mereka. Orang muda hari ini berfikiran lebih kritis dalam isu-isu seperti hak asasi, keterbukaan dalam pemerintahan, kerajaan yang bebas daripada rasuah dan isu ISA yang menjadi faktor kepada perubahan tersebut. Mereka lebih bersemangat dan lantang bersuara memperjuangkan hak mereka. Mereka banyak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil dan Gerakan Mansuh ISA. Golongan pengundi muda ini merupakan golongan yang berani memberi peluang kepada sesuatu yang baru. Sikap berani mencuba akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah menjelang PRU ke-13.


Dalam Pilihan Raya Umum tahun 2013 kelak, dua juta pengundi baru akan mengundi. Bilangan ini bertambah dari jumlah pengundi baru seramai sejuta orang pada tahun 2004. Mereka merupakan sebahagian daripada lebih empat juta pengundi baru, termasuk mereka yang layak mengundi pada tahun 2004 tetapi tidak mendaftar. Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman Berita terdapat 4 juta warga muda terutama dari bangsa Melayu masih gagal dijejaki dan didaftarkan sebagai pengundi.

Persoalannya mengapa jumlah pengundi yang layak mengundi yang mana majoritinya di kalangan orang Melayu tidak berminat mendaftar sebagai pengundi? Mengapa fenomena ini berlaku? Angka 4 juta terlalu besar. Ia fenomena ini amat menakutkan. Mengapa fenomena dan sindrom ini berlaku kepada pengundi Melayu dan lebih khusus lagi kepada pengundi muda masa kini? Ini jelas menunjukkan kegagalan UMNO menarik golongan ini untuk meminati politik dan menyertai UMNO.

Menurut teori Sains Sosial, kewujudan kelompok yang “kurang berminat” untuk berkecimpung dengan politik sekitar mereka digelar sebagai kelompok “Paroxial”. Kelompok paroxial ini tidak banyak dalam sistem sesebuah masyarakat. Jumlahnya lebih kurang 5 peratus sahaja. Oleh itu, jumlah 4 juta ini membawa makna besar, iaitu majoriti anak muda Melayu menjadi kelompok paroxial dan tidak berminat dengan politik. Ini sesungguhnya merugikan kuasa undi Melayu yang sangat diperlukan oleh UMNO pada menjelang Pilihan Raya Umum tahun 2013.

UMNO perlu membuat kajian mendalam bagi menjawab persoalan dan hipotesis berikut:

1. Mungkinkah kelompok paraxial ini membenci UMNO kerana UMNO hari ini diberi imej sebagai sebagai parti yang tubuhkan untuk mengaut kekayaan negara. Dilabelkan sebagai parti kroni, parti perkauman dan sebagainya.

2. Mungkinkah kelompok paraxial ini membenci UMNO kerana UMNO tidak ternampak jelas memperjuangkan keperluan dan kepentingan agama Islam dan juga ternampak kendur dalam mempertahankan hak bangsa Melayu.

3. Mungkinkah kelompok paraxial ini membenci UMNO kerana tidak nampak di mata orang mereka bahawa kejayaan hari ini ialah hasil daripada perjuangan UMNO itulah membolehkan agama Islam mendapat pelbagai peruntukan untuk membangun dan mengembangkan dakwah Islam. Demikian juga kedudukan bangsa Melayu hari ini ialah hasil perjuangan UMNO.

4. Mungkinkah kelompok paraxial ini diresapi elemen hiburan yang melampau dan menyebabkan hakisan kepada politik. Mungkinkah hakisan ini bukan sahaja berlaku pada politik, sebaliknya berlaku dalam semua aspek dan sektor kehidupan masa kini. Mungkinkah hakisan ini telah meruntuhkan benteng budaya dan sosial masyarakat timur, meranapkan pegangan agama, membutakan tentang ekonomi negara dan sebagainya.


Apa yang jelas kegagalan UMNO dan BN bertindak untuk memenangi hati dan undi pengundi muda Melayu akan menyebabkan UMNO kehilangan kuasa memerintah negara ini buat selama-lamanya.

Saturday, November 29, 2008

LAPORAN EIA PROJEK PEMBINAAN EMPANGAN KELAU GAGAL PATUHI PROSEDUR AKTA KUALITI ALAM SEKITAR

Cadangan kerajaan untuk membina Empangan Kelau yang akan menjejaskan lima kawasan utama iaitu Hutan Simpan Lakum, Skim Felda Kelau, Perladangan Felda Krau (Krau 2, 3 4), Rizab Orang Asli Sungai Temir dan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) telah menggusarkan kami terutamanya kerana kawasan Hutan Simpan Lakum yang kaya dengan keindahan alam semulajadi akan ditenggelami air.

Hutan Simpan Lakum harus dipelihara agar pelbagai khazanah alam, tumbuh-tumbuhan, hidupan liar dan sebagainya tidak akan musnah atas nama pembangunan. Projek Pembinaan Empangan Kelau dijangkakan memberi kesan kekal kepada alam sekitar Hutan Simpan Lakum, sistem ekologi seluruh kawasan Kelau dan Lakum, serta akan memusnahkan habitat hidupan liar di kawasan tersebut dan melibatkan pengambilan tanah dan pemindahan Orang-orang Asli di kawasan tersebut.

Projek Pembinaan Empangan Kelau telah mendapatkan kritikan dari berbagai NGO didalam dan di luar negara namun ianya tetap diteruskan juga. Menyedari hakikat ini maka Badan Bertindak Pemuliharaan Hutan Simpan Lakum telah melantik firma guaman Tetuan Kamarul Hisham, Hasnal Rezua & Yusmadi, Kuala Lumpur untuk mewakili kami bagi menyelidik hal-hal perundangan yang melibatkan laporan EIA projek pembinaan Empangan Kelau tersebut.

Hasil daripada penyelidikan ke atas Laporan EIA tersebut, maka kami berpendapat bahawa :

1. Pihak kerajaan telah meluluskan EIA tersebut di bawah seksyen 34A (3) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 apabila EIA tersebut telah gagal mematuhi ketetapan-ketetapan prosedur yang diperuntukkan secara khusus di bawah Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

1.1. Seksyen 34A (2) memperuntukkan bahawa laporan di bawah sub-seksyen tersebut mestilah mematuhi panduan (Guidelines) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan;


1.2. EIA tersebut telah tidak menepati panduan-panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan melalui “A Handbook of Environmental Impact Assessment Guidelines” (“Handbook”) dan “Environmental Impact Assessment Guidelines for Dams and/or Reservoirs Projects” (“Guidelines for Dams”) yang mana kedua-duanya mempunyai status undang-undang (“force of law”) yang wajib dipatuhi di bawah seksyen 34A (2) Akta tersebut;

1.3. Pihak kerajaan telah gagal mematuhi peruntukan-peruntukan seksyen 34A (2), iaitu gagal mematuhi Handbook dan Guidelines for Dams dalam kapasiti sebagai Pemaju Projek apabila menyerahkan satu laporan di bawah seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974;


2. FLORA & FAUNA

Laporan EIA tersebut telah secara khususnya gagal seperti berikut:-

2.1. Gagal memperuntukkan kajian hidupan liar yang terperinci dan munasabah. Kajian hidupan liar dalam EIA tersebut adalah tidak mencukupi dan meragukan serta memerlukan kajian-kajian lanjutan yang lebih terperinci

2.2. Gagal mendapatkan diskripsi spesis-spesis fauna iaitu menjalankan kajian hidupan liar yang terperinci dan telah secara tidak rasional dan tidak munasabah membuat kajian selama dua minggu sahaja untuk kajian hidupan liar dan kajian perikanan.

2.3. Gagal memberi deskripsi dan penilaian habitat dan fauna dan flora yang akan terjejas selama-lamanya;

2.4. Gagal sama sekali memberi data dan penilaian kesan alam sekitar yang tidak langsung dan memberi ramalan tentang kesan alam sekitar yang tidak langsung di luar/selain kawasan terjejas;

2.5. Konsultan telah secara khusus membekalkan satu EIA yang dilarang dengan menyenaraikan spesis-spesis flora dan fauna yang luar biasa, terancam ataupun dilindungi dan membuat kesimpulan bahawa spesis-spesis ini boleh dijumpa di kawasan lain dan/atau boleh berhijrah ke habitat-habitat berhampiran dan dengan itu tidak ada kesan alam sekitar yang bermakna;


2.6. Gagal sama sekali antara lain memberi data dan penilaian tentang kawasan pembiakan, kawasan “feeding concentration”, “migration routes”, “salt lick or springs” dan “species refuges”;
2.7. Gagal sama sekali untuk memberi data dan penilaian terhadap habitat dan spesis yang “unique or of conservation value”

2.8. Gagal sama sekali memperuntukkan bahawa projek-projek yang melibatkan pemusnahan habitat dan spesis flora dan fauna pada skala yang besar mestilah diberikan perhatian yang teliti, manakala EIA tersebut telah gagal sama sekali untuk memberi sebarang penelitian terhadap perkara-perkara tersebut

2.9. Gagal sama sekali untuk memberi sebarang data dan/atau penilaian berkenaan dengan kesan pada alam sekitar di peringkat kebangsaan dan di peringkat wilayah dan daerah.

2.10. .Gagal sama sekali untuk meneliti dan menilai isu-isu ekologi seperti “fragmentation of habitat” dan kesannya di peringkat kebangsaan, wilayah dan daerah.

2.11. Gagal dalam perbincangan dengan menganalisa secara perbandingan projek-projek yang seumpamanya di tempat-tempat lain berpandukan factor-faktor seperti sejauh mana kehilangan habitat, pertukaran, pengubahsuaian atau pemecahan habitat-habitat, dan kehilangan habitat yang kumulatif di kawasan-kawasan berhampiran dan spesis-spesis yang dianggap sensitive

2.12. .Gagal sama sekali untuk memberikan data semua spesis fauna yang terdapat dalam Protection of Wildlife Act 1972

2.13. Gagal sama sekali mengemukakan data yang munasabah dan mencukupi tentang kewujudan spesis fauna yang dijumpai di kawasan tersebut dengan kegagalan memberi data yang khusus tentang jumlah diskripsi kawasan habitat yang tepat berkenaan spesis-spesis ini.

2.14. Memberi kesimpulan yang bercanggah dengan menyatakan kesimpulan bahawa spesis-spesis fauna boleh berhijrah ke habitat lain dan spesis-spesis flora boleh didapati di kawasan lain.


2.15. EIA mengandungi kenyataan yang terlalu am bahawa akan terdapat penghapusan fauna yang agak serius tanpa menyatakan atau menganalisa impak yang sebenar


2.16. EIA tersebut mengandungi penyataan-penyataan am yang tidak didasarkan dengan apa-apa alasan, analisa, data ataupun kajian dan mengandungi andaian am yang bercanggah berkenaan pergerakan/perhijrahan fauna ke habitat lain.
2.17. EIA tersebut mengulangi kenyataan-kenyataan am dan kesimpulan am yang tidak didasarkan dengan apa-apa data/kajian/analisa berkenaan impak semasa proses pembinaan ke atas fauna.

2.18. Gagal dalam keseluruhan Bab 13 EIA tersebut yang berkaitan Flora dan Fauna untuk memberi sebarang analisa/data/ kajian terperinci tentang impak kepada spesis-spesis flora dan fauna dan habitat masing-masing.

2.19. Tidak rasional dan tidak munasabah dengan mengambil kira faktor-faktor yang tidak relevan dan gagal mengambil kira faktor-faktor yang relevan seperti yang diwajibkan oleh peruntukkan-peruntukkan di bawah ‘Guidelines for Dams’ dan ‘Handbook’.

2.20. Memutuskan bahawa langkah-langkah yang akan diambil untuk menghalang, mengurangkan atau mengawal kesan-kesan buruk kepada alam sekitar adalah memadai telah membuat satu keputusan yang tidak rasional, tidak munasabah, tidak sah dan melanggar jangkaan sah pemohon-pemohon.


( BERSAMA INI DISERTAKAN AFIDAVIT SOKONGAN DR. ROSLI BIN OMAR DIBAWAH ATURAN 53 KAEDAH 3 (2) KMT 1965. AFIDAVIT INI AKAN MENJELASKAN TENTANG KELEMAHAN LAPORAN EIA. AFIDAVIT INI ADALAH AFIDAVIT SOKONGAN TERHADAP AFIDAVIT YANG KEMUKAKAN OLEH ORANG ASLI SUNGAI TEMIR, KELAU.)


SATU ALTERNATIF LAIN WAJAR DIKENAL PASTI BAGI MENGGANTI PEMBINAAN EMPANGAN KELAU.

Kebanyakan kita tidak menyedari tentang kemudaratan yang diakibatkan oleh pembinaan empangan di sesuatu tempat. Sebenarnya kaedah membina empangan adalah satu konsep lama atau konvensional yang tidak lagi sesuai dengan perkembangan hidup masa kini.

Seperti mana yang dinyatakan oleh pakar alam sekitar dari luar dan dalam negara, pembinaan empangan seperti yang berlaku di Filipina, China, Indonesia dan Thailand banyak membawa kesan buruk kepada flora dan fauna, penempatan peribumi dan juga menyebabkan banjir buruk setiap kali hujan lebat dan ribut taufan melanda.

Kita tentunya dapat melihat sendiri kesan buruk yang berlaku kepada empangan Timah Tasoh, Perlis yang dua tahun lepas tidak dapat menampung lebihan air hujan lebat yang terpaksa dilepaskan untuk mengelakkan empangan tersebut pecah. Natijahnya hampir 75% kawasan di Perlis mengalami banjir terbesar dalam sejarahnya.
Begitulah juga nasib yang sama dihadapi oleh penduduk Terengganu apabila empangan Tasik Kenyir bermasalah dan baru-baru ini empangan di Batu Pahat, Johor tidak dapat menampung hujan lebat dan air terpaksa dilepaskan mengakibatkan banjir terburuk yang pernah berlaku di situ.

Oleh yang demikian, kita tidak dapat menerima rasional pembinaan Empangan Kelau untuk memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor kerana masih terdapat mekanisme yang lebih praktikal untuk menjayakan tugas tersebut.

Satu alternatif lain wajar dikenal pasti bagi mengganti pembinaan Empangan Kelau. Ada beberapa cadangan yang lebih sesuai dan menjimatkan kos untuk projek tersebut malahan ianya tidak melibatkan banyak kemusnahan harta benda, kemudahan asas, hidupan liar dan sebagainya.

Negara kita yang kaya dengan sumber khazanah ini harus mempertahankan nilai-nilai yang sedia ada agar tidak ketandusan dan adalah menggusarkan pihak kami jika projek ini akan menjadi perintis untuk kemusnahan hutan simpan yang lain pada masa akan datang.

Kami menyokong tindakan orang asli Sungai Temir Kelau mengambil tindakan perundangan kerana mereka adalah golongan yang akan terjejas teruk akibat projek pembinaan empangan Kelau ini. Semoga dengan tindakan perundangan tersebut maka pihak mahkamah dapat memberi pertimbangan yang seadil mungkin agar kekayaan sumber alam semulajadi di negara kita akan tetap terpelihara demi untuk generasi kini dan waris kita untuk selama-lamanya.


Zubir bin Harun
Pengerusi Badan Bertindak Pemuliharaan Hutan Simpan Lakum Pahang