Friday, April 17, 2009

MELAYU KINI SUDAH DAN AKAN TERANCAM AKIBAT PEMINPIN YANG RAKUS KUASA

Kemenangan Pas di kerusi Parlimen Bukit Gantang lebih menjurus kepada kemenangan moral dan peribadi calon Pas sendiri yang terjebak dengan krisis politik semasa di negeri Perak sekarang. Meskipun calon yang menang adalah seorang Melayu Islam tetapi pada saya tiada apa yang boleh dibanggakan apabila pihak yang menang sebenarnya adalah mereka yang berada di belakang kejayaan itu. Saya pun tidak faham apakah yang begitu susah untuk difahami para pengundi Melayu di kawasan itu. Mereka seharusnya mengundi bukan terhadap apa yang tersurat tetapi kepada apa yang tersirat. Dalam konteks ini, saya memuji sikap pengundi bukan melayu yang memberi undi ‘solid’ kepada calon Pas kerana mereka sependapat bahawa calon itu boleh menyalakan obor perjuangan kaum bukan melayu melebihi kaum Melayu sendiri. pada mereka mengundi calon Pas adalah seumpama mengundi bagi memperkasakan kaum mereka sendiri.


Kemenangan Pas itu pada saya, mencerminkan penolakan rakyat tempatan termasuk orang Melayu sendiri terhadap kedaulatan institusi raja yang selama ini menjadi benteng terakhir warga melayu; dan sikap orang Melayu dengan atitud tidak apa terhadap tindak tanduk pembangkang yang kian hari kian menghakis ketuanan melayu dan hak istimewa rakyat Melayu. Bilalah orang Melayu nak sedar! Sehingga negeri dan Negara terlepas kepada bukan Melayu dan diwaktu kaum melayu dan cucu cicit mengemis di tanah air sendiri dengan tiada lagi raja yang melindungi, tiada lagi hak istimewa melayu dinikmati? Semuanya nanti sudah terlambat..nasi sudah menjadi bubur. Masa itu semua rintihan, rayuan, memorandum dan sebagainya tidak berguna lagi walau menitiskan air mata darah sekalipun..

Tiada keistimewaan pelajar cemerlang melayu dengan biasiswa melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara dan lain-lain lagi yang kita sedang kecapi semudah dulu dan kini. Tiada lagi dana khas berbilion ringgit untuk usahawan melayu berniaga yang hingga kini masih merangkak-rangkak mencari kekuatan ekonomi. Semuanya tidak akan semudah dulu dan sekarang! Pada warga melayu yang lupa daratan , bermuhasabahlah……kepada para pemimpin Pas jangan asyik berpolitik dan melayan karenah serta tuntutan demi tuntutan pihak yang ingin menangguk di air keruh. Akan lebih tragis lagi apabila golongan ulama dan berpendidikan agama dalam Pas dibiarkan tersisih dalam kepimpinan parti dengan kemenangan puak Erdogan berpaksikan ideologi sekular bersentimenkan DSAI dan akhirnya menguasai Pas kelak.

Berpijaklah di bumi nyata.. jangan sampai anak cucu cicit anda menyalahkan anda kerana melupakan tanggungjawab melindungi hak Melayu Islam di tanah air sendiri. Jangan sampai kemenangan hari ini bakal menjadi tangisan anak cucu anda dan anak cucu umat Melayu keseluruhannya di kemudian hari kelak. Jangan sampai ungkapan keramat ‘takkan melayu hilang di dunia’ akan lenyap dek silapnya perhitungan pemimpin Melayu Islam yang hanyut dibawa arus politicking dan mengikut telunjuk rakan politik bukan Islam yang bersifat ‘api dalam sekam’ yang kian hari kian marak baranya membakar semangat melayu yang kian luntur di telan masa. Tidak mustahil apabila kita sudah lemah, layu dan lesu maka episod ‘senjata makan tuan’ akan mengambil tempat di persada politik tanah air kita kelak. justru kemenangan pembangkang di bukit gantang itu bolehlah kita umpamakan sebagai 'menang sorak kampung pula yang bakal tergadai'