Sunday, November 29, 2009

SISTEM MERITOKRASI BAGI KEMASUKAN PELAJAR KE IPTA BERTENTANGAN DENGAN PERKARA 153 HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU



1. Meritokrasi adalah satu sistem sosial yang memfokuskan kepada kebolehan dan keupayaan seseorang individu tanpa mengira pangkat, harta, keturunan, kaum dan agama. Sistem ini mementingkan kejayaan atau ganjaran sosial berdasarkan merit kepintaran (IQ), bakat dan usaha individu. Sistem meritokrasi mula dilaksanakan bagi kemasukan pelajar ke IPTA mulai semester 2002/2003 bagi semua IPTA di seluruh negara.

2. Tan Sri Musa Mohamad Menteri Pendidikan ketika itu berkata sistem meritokrasi perlu dilaksanakan bagi menyedarkan pelajar Melayu supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Dengan adanya sistem meritokrasi, ia akan memilih pelajar berdasarkan prestasi akademik dan bukannya kuota. Justeru, pelajar Melayu akan menjadi lebih prihatin untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan (Berita Harian 4 September 2001).

3. Dr Mahathir memberikan alasan berikut apabila ditanya kenapa beliau tergamak memperkenalkan sistem Meritokrasi ("Penghapusan Sistem Quota") untuk anak-anak bumiputera masuk ke Universiti: "Menurut Perdana Menteri, menerusi dasar itu diharap mereka dapat menumpukan kepada pelajaran dan mencapai kelulusan lebih baik. ” Kita perlu ambil tindakan untuk memperingati bahawa kalau mereka tidak berusaha, tidak ada tempat bagi mereka,'' katanya (Utusan Malaysia 3 Ogos 2001).

4. Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu), kerajaan melaksanakan dasar tersebut bukan bertujuan untuk menganiaya para pelajar Melayu sebaliknya untuk menyedarkan bangsa Melayu yang masih lena dibuai mimpi yang majoritinya masih ketinggalan jauh berbanding dengan bangsa-bangsa lain dalam bidang pendidikan (Berita Harian 4 September 2001).

5.6. Dengan menjadikan Universiti Malaya sebagai tanda aras ( bagi tren kemasukan pelajar bukan Melayu yang bertambah akibat sistem meritokrasi) maka jumlah pelajar Melayu yang memasuki semua IPTA bagi bidang kritikal IPTA adalah rendah berbanding kaum lain. Tren ini terus berlaku untuk tempoh hampir 8 tahun dan ini telah mengakibatkan pelajar Melayu berkurangan di dalam bidang- bidang kritikal di semua IPTA.

7. Setelah hampir 8 tahun sistem meritrokrasi dilaksanakan, tiba-tiba bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mula rasa bimbang dengan jumlah kemasukan pelajar Melayu ke IPTA terutama di dalam bidang kritikal yang didapati semakin berkurangan berbanding kaum lain. (Utusan Malaysia 1hb. Oktober,2009).

8. Kebimbangan ini berasas apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui jumlah pelajar Melayu dalam bidang kritikal di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) agak rendah berbanding kaum lain di negara ini. Bagaimanapun, katanya, bilangan pelajar Melayu semakin meningkat di IPTA tetapi kebanyakannya tertumpu dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. (Utusan Malaysia 1hb. Oktober,2009).

Saturday, November 21, 2009

UMNO PERLU MENGAMBIL IKTIBAR DARIPADA KISAH TENGGELAMNYA KAPAL TITANIC

KELANA JAYA - UMNO perlu mengambil iktibar daripada kisah tenggelamnya kapal Titanic di mana kapal yang besar dan kukuh struktur binaannya juga mampu tenggelam jika tiada tindakan berjaga-jaga. Yang Dipertua Perkasa Pahang, Dr Zubir Harun berkata, UMNO sebagai sebuah parti yang besar akan ’karam’ sekiranya pemimpin UMNO memandang rendah terhadap ancaman persekitarannya iaitu keupayaan parti pembangkang dan lambat bertindak membaiki kelemahan.

Katanya, motivasi yang terbaik agar pemimpin UMNO tidak leka dan terus berusaha memenangi hati rakyat ialah mengingatkan dengan berita yang menggerunkan.

“Jadikanlah motivasi bahawa kemenangan Pilihanraya Umum ke-13 adalah satu yang menggerunkan iaitu UMNO tumpas dan apakah yang akan terjadi kepada bangsa Melayu jika DAP, PKR dan Pas berjaya menjadi pemerintah.

“Perkara-perkara yang menggerunkan seperti itu diyakini akan menyebabkan pemimpin UMNO tidak leka dan terus berusaha memenangi hati rakyat sekaligus memperoleh lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah ‘Cabaran dan masa depan Melayu’ pada Program ‘Bicara Perjuangan Misi Lawan dan Tawan’ anjuran UMNO Bahagian Kelana Jaya di Auditorium Kompleks Kastam, semalam.

Dr. Zubir berkata, ahli UMNO perlu memberi ‘berita buruk’ kepada ketua sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun Pusat agar mereka sedar masalah di akar umbi dan tidak hanya berasa berada di zon selesa dan bertindak segera untuk rakyat. “Ahli mesti berani mengemukakan masalah dan berita yang tidak sedap didengar kepada ketua dari sekarang. Janganlah hanya berkata ‘tidak ada apa-apa masalah’ sedangkan sebenarnya terlalu banyak masalah,” katanya.

Selain memberi suntikan semangat kepada ahli UMNO, program ini juga memberi ruang kepada pemimpin bahagian menyampaikan maklumat dan pandangan secara bersemuka dengan ahli terutama berhubung pindaan perlembagaan UMNO dan Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur).

Sinar Harian 15.11.2009